Beberapa bulan sudah, aku ada janji nak citer pasal trip aku ke Taiwan. Tapi sorila... Sampai semalam aku masih blom tunaikan. Bukan tak mau nak share, tapi aku takde masa nak mengarang ayat. So, kat bawah nih aku pastekan je la story yang sempat aku cilok jap tadi. Harap korang enjoy baca... :)
TERPAUT DENGAN KEUNIKAN BUMI TAIWAN
BERPELUANG meneroka bumi Taiwan merupakan detik yang cukup istimewa, apatah lagi di kalangan para pencipta alam. Walaupun berkesempatan menghabiskan masa enam hari lima malam di negara bergunung-ganang itu, kunjungan yang ditaja oleh Penerbangan Cathay Pacific dan Persatuan Pelancongan Taiwan lewat bulan lalu terasa begitu singkat, tetapi sudah tentu penuh bermakna.
Penerbangan bersama Cathay Pacific ke Taiwan memang menyeronokkan, lebih-lebih apabila saya bersama empat rakan media yang lain diberi peluang duduk di kelas Bisnes. Sepanjang lebih lima jam merentasi kepulan-kepulan awan altokumulus yang memutih, kami masing-masing berasa tidak sabar untuk segera sampai ke Taipei, ibu negara Taiwan.
Pengalaman menarik kami bermula apabila dibawa mengunjungi Shilin iaitu sebuah pasar malam yang terletak di antara deretan kedai. Kawasannya tidak begitu luas dan panoramanya tidak ubah seperti di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Namun, kepelbagaian barangan yang dijual selain cukup ‘trendy’ membuatkan kami serta-merta rambang mata.
Selain Shilin, Taipei turut memiliki Ximending dan Wufenpu yang masing-masing terletak cukup hampir dengan stesen MRT serta memiliki identiti tersendiri. Apabila datang ke Ximending, pengunjung tidak perlu bimbang akan tersesat jalan kerana kawasannya yang berbentuk empat segi. Di samping itu, membeli-belah di sana juga lebih selesa memandangkan kawasannya yang luas. Wufenpu pula tidak ubah seperti syurga barangan Korea, Jepun dan Thailand dengan menampilkan pelbagai fesyen terkini. Namun, uniknya, ia bukan sahaja menjadi tumpuan individu perseorangan, tetapi juga oleh pekedai yang ingin membeli secara pukal.
Jika Kuala Lumpur memiliki KLCC, Taiwan pula mempunyai Taipei 101. Selain merupakan tempat membeli-belah yang popular, bangunan setinggi 508 meter ini turut menjadi mercu tanda yang unggul bagi masyarakat Taiwan, apatah lagi sebagai yang tertinggi di dunia di samping berteknologi tinggi. Kelajuan lifnya juga cukup mengagumkan. Bagi para pelancong, kunjungan ke Taipei 101 pasti tidak lengkap selagi mereka tidak melihat sendiri pemandangan indah yang mempesonakan di sekitar bandar raya Taipei di tingkat 89 sama ada pada siang hari ataupun sebelah malam.
KEUNIKAN TAMAN TEMA
Keistimewaan Taipei tidak hanya terletak pada pusat membeli-belahnya. Sebaliknya, ia juga memiliki banyak kisah menarik yang melatari sejarah Taiwan. National Revolutionary Martyrs’Shrine menjadi lambang penghargaan buat lebih daripada 300 ribu pejuang yang pernah berkorban nyawa demi Taiwan. Rupa bentuknya yang indah dan berseni merupakan inspirasi daripada istana Dinasti Ming. Lazimnya, bermula dari Isnin hingga Jumaat, para pelawat yang datang akan berpeluang menyaksikan sendiri sekumpulan askar berkawat dari pintu gerbang hinggalah masuk ke dalam makam utama.
Kunjungan ke Muzium National Palace di Taipei juga cukup menarik hati. Ini bukan sahaja kerana kekayaan khazanah yang ada di dalamnya, tetapi juga pendekatan yang digunakan oleh pihak pengurusan. Saban hari, muzium ini sesak dengan kunjungan ramai orang. Lantaran itu, bagi memudahkan pelawat khususnya yang datang berkumpulan supaya tidak berpecah sekali gus membenarkan mereka memperoleh informasi dengan jelas, setiap orang akan diberikan alat pendengaran. Manakala pemandu pelancong yang bersama mereka pula akan menggunakan alat seperti walkie talkie untuk berhubung dengan mereka.
Yingge juga tidak kurang istimewanya. Seimbas pandang, ia tidak ubah seperti syurga barangan seramik. Lakaran dan hasil tangan pada teko tehnya juga halus dan indah. Berdasarkan cerita tempatan, sejarah seramik di Yingge sudah bermula sejak 200 tahun dahulu dengan kehadiran Wu An yang berhijrah dari Guangzhou. Kini Yingge menjadi pusat penghasilan seramik terbesar di Taiwan.
Mengunjungi taman tema Leofoo Village dan Window of China memberikan dua pengalaman yang amat berbeza dan menyeronokkan. Terdapat banyak permainan menarik di sana yang harus dicuba oleh pengunjung. Di Leofoo Village, kami berpeluang mengembara ke dunia mencabar Aladin di Arabian Kingdom selain mencuba pelbagai permainan lain. Namun, daya tarikan taman tema ini bukan sekadar pada permainannya. Lebih istimewa, ia turut membawa pengunjung melihat pelbagai jenis haiwan termasuklah binatang liar tanpa ada halangan kandang ataupun jaring. Walau bagaimanapun, pelawat tidak perlu risau kerana mereka cukup mengutamakan keselamatan. Umumnya, ia mempunyai banyak seksyen dan setiap satu menampilkan kaedah pengangkutan yang berlainan. Antaranya termasuklah menaiki basikal rel, kereta api dan bas mengikut kesesuaian kawasan.
World of China (WOC) pula menampilkan kelainan apabila ia tidak hanya mengetengahkan bermacam-macam jenis permainan, tetapi juga keunikan replika-replika kecil yang halus dan kemas buatannya. Malah, jika diteliti, bahan binaan yang digunakan sama ataupun hampir menyerupai bangunan asal. Menurut pihak pengurusan, sebuah bangunan kecil memerlukan masa sekitar 10 tahun untuk disiapkan. Antara yang ada di sini ialah dua bangunan masyhur; Taj Mahal, India dan Menara Pisa, Itali. Di samping itu, WOC turut mengetengahkan pelbagai karakter dari siri kartun popular Doraemon.
KEINDAHAN YANG MEMUKAU
Ketika singgah di bahagian timur Taiwan, kami amat bertuah kerana dapat menikmati kehangatan kolam air panas yang cukup popular di Taitung. Selain itu, ia juga mempamerkan panorama dan kejadian alam yang cukup menakjubkan. Di Siaoyeliou misalnya, ia memiliki himpunan karang yang amat indah dengan rupa bentuk yang cukup unik. Jika diperhatikan betul-betul, pengunjung tentu menyedari ada antaranya berbentuk seperti cendawan dan halia.
Pemandangan indah di Sansiantai turut memukau, apatah lagi dengan kehadiran jambatan lapan gerbang sebagai penyeri. Walaupun jarak antara gerbang pertama dan kelapan agak jauh, kami tidak pula patah semangat. Malah, kepuasan benar-benar terasa sebaik sahaja kami berjaya sampai ke hujung. Angin kuat yang menyapa kami terutamanya apabila berada di tengah-tengah jambatan benar-benar membuatkan kami masing-masing terpesona.
Sememangnya kawasan timur Taiwan yang terapit antara laut dan gunung nyata cukup indah. Malah, melihatkan warna biru lautnya sahaja sudah cukup menggambarkan betapa uniknya ia. Kehadiran masyarakat Amis yang masih lagi mengekalkan warisan budaya dan seninya menghidupkan lagi keindahan dan keunikannya.
Walaupun majoriti penduduk Taiwan beragama Kristian dan Budha, namun ia bukanlah penghalang untuk pelancong Islam datang ke negara ini. Terdapat enam buah masjid di sana. Dan yang tertua serta terbesar di Taipei ialah Grand Taipei. Selain itu, pelancong Muslim juga boleh menikmati hidangan enak yang halal di lebih daripada 20 buah restoran di sana. Malah, makanan halal turut disediakan di kebanyakan hotel di sana. Singgah sebentar di Taiwan pasti memberikan pengalaman yang amat sukar untuk dilupakan.
2 comments:
Rasa cam baca majalah plak...hehehehe!!!
dah nama pun cilok, bebbb! hahaha...
Post a Comment