Pages

Thursday, February 28, 2013

Hei!

Baru-baru ni ada isu berbangkit pasal istilah 'hei' di ofis saya. Pada masa itu lah baru saya sedar, perkataan 'tiga huruf' ini dipandang dengan cara yang berbeza-beza oleh ramai orang.

Ada orang anggap, panggilan 'hei' kepada seseorang adalah kurang ajar. Ada orang anggap ia biasa-biasa saja. Pada saya pula, ia bergantung kepada siapa yang menyebut perkataan itu dan kepada siapa pula ia ditujukan.

Merujuk kepada kamus Dewan Eja Pro 2012, hei adalah bermaksud hai. Kalau dilihat kepada maksud yang diberikan, bermakna perkataan hei tidak salah digunakan. Dan ia tidak mengundang apa-apa unsur kurang ajar. Ini berbeza dengan 'hoi' yang bermaksud: kata untuk memanggil atau menyahut (kurang hormat daripada hai).

Secara peribadi, saya melihat hei boleh digunakan, tetapi tidak boleh disebut kepada sebarangan orang. Bagi saya, hei (bergantung kepada konteks ayat dan nada yang digunakan) mungkin merupakan kata-kata mesra atau lambang hubungan erat/baik antara orang yang menyebut perkataan itu dengan orang yang ditujukan perkataan itu. Jikalau kita tiba-tiba saja berkata 'hei' kepada orang yang tidak dikenali ataupun orang yang tidak rapat dengan kita, kemungkinan untuk ia disalahertikan adalah tinggi. Namun, walau serapat mana pun kita dengan seseorang itu, penggunaannya perlu disesuaikan dengan level atau status kita dengannya. Ia mungkin lebih sesuai digunakan antara kawan dengan kawan. Tapi jangan sesekali kita gunakan perkataan hei kepada orang yang lebih tinggi kedudukannya daripada kita seperti ibu bapa, guru dan bos.

Tuesday, February 5, 2013

Dulu dan sekarang...

Dulu-dulu, saya cukup seronok bila gambar saya keluar di suratkhabar atau majalah. Walau tak ada nama, saya tetap rasa seronok dan bangga. Tak tahulah kenapa. Tapi itulah perangai saya dari saya sekolah rendah sampailah sekolah menengah.

Sejak saya masuk IPT, keadaan mula berubah. Dulu masa sekolah, saya suka orang ambil gambar saya. Lebar je saya tersengih di depan kamera seolah-olah lawa sangat masa tu. Tapi bila di IPT, saya lebih suka ambil gambar orang lain dan benda lain. Sangat sikit gambar saya yang saya ada terutamanya gambar saya seorang. Masa guna film, semua gambar-gambar tu saya cuci dan saya simpan. Tapi sejak dah ada digital, sikit saja yang cuci. Selebihnya saya simpan dalam komputer. Baru-baru ni, bila corupt, barulah saya sedar betapa bagusnya kalau saya cuci semua gambar tu. :)

Mula di IPT, minat saya untuk lebih mengexposekan 'wajah' saya semakin berkurang. Dan akhirnya apabila masuk dalam bidang pekerjaan, saya tidak lagi berminat untuk menayangkan muka saya di majalah, atau suratkhabar. Dan sebab itu jugalah saya tidak memohon bekerja di syarikat penyiaran. Alasannya masa tu mudah - saya tak suka glamor, saya tak suka bermekap dan saya tak suka tayang muka saya. Saya lagi senang dan seronok orang tahu nama saya daripada rupa saya. Dan kebetulan, wajah saya memang tidak selawa mana.

Sepanjang bekerja di sebuah syarikat penerbitan sebelum ini, seolah-olah dah jadi satu tradisi - setiap kali nak raya mesti ambil gambar untuk dimasukkan ke dalam majalah. Setiap kali tiba masa tu, saya mesti gelisah sebab saya tak suka ambil gambar, apalagi nak ditayangkan kepada pembaca. Tapi demi kawan-kawan satu team, saya mengalah. Mujurlah setiap kali nak ambil gambar, saya kena bermekap tebal dulu. Jadi, memandangkan dulu saya memang tak bermekap, bila gambar tu keluar majalah, tak ramai yang perasan itulah saya lebih-lebih lagi saya tak bercermin mata.

Ramai kawan-kawan kutuk saya. Ada yang kata saya tak sporting, 'kampung', pelik, poyo, entah apa-apa dan macam-macam lagi. Tapi saya tak kisah. Sebab itulah saya. Saya tidak kisah orang tak kenal saya sebab saya bukanlah sesiapa pun. Yang penting kita semua bahagia. Lagipun, dengan banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya, saya lebih senang bersikap low profile. Ia buatkan saya rasa lebih tenang dan selesa. Lagipun, bagi saya, rupa paras kita tak akan kekal lama sebab kita semakin tua dan akhirnya mati. Tetapi nama akan terus kekal. Malah, bila kita mati nanti pun, nama kita juga yang akan tertulis di batu nesan. Wallahu'alam :)