Pages

Friday, April 26, 2013

Kakak cleaner

Seorang kakak cleaner baik dengan saya. Dia tak banyak cakap. Tapi bila dia datang dekat dengan meja saya, kitorang selalu juga berbual. Tapi sepanjang saya kenal dia, tak ada pula dia rajin bercerita pasal orang lain. Pada suatu hari, tiba-tiba ada cleaner lain gantikan dia. Saya ingat dia cuti. Tapi bila dah lama sangat tak nampak dia, saya bertanya dengan seorang cleaner. Pendek saja soalan saya. Tapi jawapannya terlalu panjang. Dia kata kakak cleaner tu dah kena buang sebab jahat mulut. Banyak kali dia ulang perkataan jahat. Saya cuma angguk dan senyum dengar dia bercakap. Tapi saya waswas dengan cerita dia. Jadi saya bertanya kepada cleaner lain. Rupa-rupanya dia bukan dibuang kerja, tapi dia berhenti kerja serta-merta selepas bergaduh dengan seseorang. Kononnya gaduh yang memang teruk. Saya dapat mengagak siapa lawan gaduhnya.
Moral of the story, kena berfikir sebelum terima cerita bulat-bulat. Jangan mudah percaya dengan orang, apalagi kalau kita dah sedia maklum atitudenya yang suka mengata orang dan seumpamanya walaupun dia bercakap dengan penuh kesungguhan. Kadang-kadang bila kita terlalu asyik sangat mengata orang, kita tak sedar sebenarnya kita dah menunjukkan kepincangan diri kita. Wallahua'lam... :)

Monday, April 22, 2013

Ketayap

Hari ni perut tak berapa sihat. Tapi bila nampak kuih ketayap, teringin pulak rasanya.
Waktu kecil dulu masa lepak di kampung, saya selalunya jalan kaki dengan arwah opah ke pasar sehari. Kitorang panggil Pekan Khamis. Kalau tak silap saya jarak dari rumah opah ke sana lebih kurang 1.5 kilometer. Nak ke sana kami kena lalu alur air, kemudian kubur. Biasanya saya teman opah beli barang basah. Tapi opah tak pernah lupa bawak saya pegi beli kuih ketayap kat satu gerai ni. Biasanya opah akan belikan saya dua jenis kuih yang memang saya suka sangat dulu - ketayap dan koci.
Tiba-tiba rindu pulak kat arwah opah...

Monday, April 15, 2013

Chulan

Sekejap tadi tak semena-mena saya terbuka website ni http://www.smkrajachulan.net/. Terus saya rasa rindu. Tujuh tahun di Chulan, banyak benar kenangannya. Pahit, manis, masam, masin... macam-macam ada. Bila tengok gambar Chulan yang ada di dalam website tu, mulalah terbayang seolah-olah saya masih di situ. Macam tak percaya dah 15 tahun berlalu. Cepatnya masa berlalu...  :)

Friday, April 12, 2013

Huruf dan nombor

Kehidupan saya tidak mewah. Sederhana saja. Alhamdulillah cukup makan dan pakai.

Zaman saya kecil dulu, keluarga saya bukanlah orang berada. Ayah saya buruh kilang simen. Mak saya mula-mula suri rumah tangga. Kemudian jadi cikgu di sekolah agama rakyat. Bila dicampurkan gaji emak dengan ayah masih tak banyak mana. Tapi cukuplah untuk kami sekeluarga.

Disebabkan keadaan kewangan yang tak begitu baik, saya dan kakak tak pernah masuk tadika walaupun tadika kemas. Ayahlah yang ajar kami membaca dan mengira.Seingat saya, saya mula kenal huruf dan nombor masa umur lima tahun. Kami suka membaca. Jadi kadang-kadang ayah saya beli Bintang Kecil untuk kami. Rupanya lebih kurang macam suratkhabat saiz tabloid. Pernah juga ayah belikan komik.

Masa masuk darjah satu, saya dimasukkan ke dalam kelas 1 Hijau. Itu kelas pertama. Saya tak ingat macam mana saya boleh dimasukkan ke dalam kelas tu. Mungkin sebab saya dah pandai membaca. Cikgu kelas saya namanya Cikgu Zainab - sangat bengkeng, garang dan cenge. Tapi hatinya baik.

Tidak lama sebelum masuk darjah satu, ayah ada belikan set buku untuk saya. Saya tak ingat sangat buku-buku tu. Tapi ada satu buku yang saya sayang. Kalau tak silap saya buku tu warna merah. Disebabkan saya suka dan saya sayang buku tu, saya bawa ke sekolah. Tapi arwah Cikgu Zainab rampas buku tu.

Saya tak ingat sama ada masa tu saya atau kawan saya yang sibuk membelek buku tu masa dia tengah mengajar. Tapi disebabkan marah muridnya tak memberikan tumpuan, buku itu yang jadi mangsa. Saya berasa terlalu sedih. Saya mengadu kepada emak dan ayah. Mereka kata akan marah Cikgu Zainab bila jumpa nanti. Tapi sampai Cikgu Zainab meninggal, mereka tak pernah marahkan Cikgu Zainab ambil buku tu. Dan sampai sekarang saya tak pernah dapat buku tu lagi.

Dulu kalau saya mengadu kena marah, pukul atau cubit dengan cikgu, ada tiga perkara yang mungkin berlaku - emak dan ayah akan kata nak marah cikgu balik, emak dan ayah buat tak tahu ataupun saya kena marah balik dengan mereka.

Kalau suatu hari nanti saya dianugerahi zuriat, saya tak tahu bagaimana saya akan mendidiknya. Adakah saya berpeluang untuk mengajar mereka kenal huruf dan nombor? Adakah saya akan ikut telunjuk mereka ataupun mereka yang ikut telunjuk saya? Wallahu'alam. Saya tak tahu. Cuma saya berharap akan menjadi ibu yang baik seperti emak dan ayah saya. :)