Pages

Friday, September 9, 2011

Mat Indera

Sekarang ini semua orang kalut bercerita tentang Mat Indera. Siapa Mat Indera? Komunis atau nasionalis? Aneh! Orang itu sudah lama mati. Kenapa baru sekarang mahu dipersoalkan lagi siapa dia?

Bagi segelintir orang terutamanya yang berkait dengan mangsa komunis khususnya di Bukit Kepong, membangkitkan isu ini tentulah tidak ubah seperti membuka kembali luka lama – berdarah dan menyakitkan.

Dalam kalangan pejuang negara terdahulu seperti bekas askar dan polis, mengagungkan Mat Indera oleh pihak-pihak tertentu yang kini hidup dalam kemerdekaan hasil pengorbanan mereka sudah pastilah suatu penghinaan. Paling tidak pun tindakan itu sudah cukup kuat untuk mengguris hati mereka yang sanggup menumpahkan darah sendiri demi tanah air suatu masa lalu. Dan bagi sesetengah yang lain pula, ia tidak lebih daripada satu propaganda untuk memenuhi kepentingan peribadi.

Mungkin benar menentukan siapa sebenarnya Mat Indera adalah suatu yang penting. Namun, dalam keadaan rasa cinta rakyat yang kian luntur pada tanah air dan semangat kenegaraan mereka yang tambah pudar, bukankah ada baiknya pihak-pihak tertentu memikirkan cara terbaik untuk menanganinya?

Buat apa kita hendak bertegang leher untuk sesuatu yang sudah lama berlaku? Sebab ia tidak lebih daripada membuang masa dan menyakitkan hati antara kita. Lebih buruk lagi kita akan berpecah belah, tidak bersatu dan akhirnya memberi peluang kepada pihak tertentu untuk menjatuh serta meruntuhkan kita. Adalah amat tidak berbaloi untuk kita membuka ruang kepada kemusnahan kita sendiri. Sebaliknya adalah lebih baik kita saling ambil iktibar daripada sejarah silam berbanding bertelingkah tentang sejarah itu sendiri.

No comments: