Yang dah berlalu biarlah berlalu. Pahit dan sakit macam mana pun, kita takkan mampu mengubah masa silam. Bagi saya yang penting adalah hari ini dan masa depan. Bukan sesuatu yang telah pun menjadi kenangan.
Saya sedar ada seorang hamba Allah yang begitu membenci dan berdendam dengan saya selama bertahun-tahun. Dan saya juga mengakui yang saya turut membencinya. Aneh, saya tak pernah mengenali dia secara personal, apalagi nak berborak mesra dengannya. Tapi pelik apabila banyak betul perkara dan peristiwa yang berlaku antara kami, dan sudah tentu semuanya itu membabitkan perkara-perkara yang amat tidak menyenangkan.
Sejujurnya, saya amat marah sewaktu pertama kali mendengar namanya dan tahu tentu kewujudannya. Mungkin dia pun begitu juga. Tapi saya percaya permusuhan ini patut dihentikan segera kerana ia tidak membawa ke mana-mana. Dia juga patut berhenti daripada membuat apa jua bentuk serangan kepada saya kerana ia langsung tidak menguntungkan dirinya. Malah, dia cuma menambah dosa, membuang masa dan tenaga memikirkan sesuatu ataupun merencanakan sesuatu yang langsung tidak perlu, apalagi berbaloi untuk dilakukannya.
Permusuhan dan dendam ini tak akan membawa sebarang kebaikan, ketenangan dan kebahagiaan. Walau apa pun bentuk serangan yang dia buat, percayalah saya tidak akan membalas mengikut cara yang sama yang dilakukannya. Dengan kata lain, saya berlindung dengan kebesaran dan kekuasaan Allah. Dan saya serahkan sahaja kepada Allah kerana Dia lebih berkuasa dan Maha Mengetahui. Kalau Dia mengizinkan serangan itu kena tepat atau sipi pada diri saya, saya reda dan berserah kepadanya. Jika tersasar, alhamdulillah. Namun, walau apa pun keadaannya, selagi berkesempatan untuk memperbetulkan keadaan, atau setidak-tidaknya menghentikan perkara-perkara yang tidak sepatutnya, lebih baik peluang itu digunakan sebaik mungkin sebelum ia diambil semula oleh Allah.
Kepada si polan, percayalah bahawa saya tidak berminat lagi hendak bermusuh dengan anda, apalagi hendak menyematkan terus nama anda dalam kotak ingatan saya. Saya sebenarnya tidak nampak mengapa permusuhan ini perlu diteruskan kerana rancangan pertama anda telah pun berjaya beberapa tahun yang lalu. Ia jelas sudah meletakkan satu nokhtah dalam hidup saya dan pada masa yang sama sudah tentu memberikan kemenangan besar kepada anda. Anda boleh teruskan hidup dengan kemenangan itu tanpa perlu mengaitkannya lagi dengan saya kerana hasrat dan keinginan saya untuk menggagalkan impian besar anda sudah lama berkubur. Biarkan saya menjalani kehidupan saya, dan anda dengan kehidupan anda. Tak perlu lagi anda kaitkan saya dengan kehidupan anda, kerana saya benar-benar tidak mahu lagi ada nama anda tertulis dalam memoir hidup saya bermula hari ini. Teruskan sahaja misi anda dengan tenang kerana saya bukan lagi menjadi penghalang anda. Kepada si polan, selamat berjaya. Cuma ingatlah seperkara, apa sahaja jalan yang anda pilih, Allah sentiasa tahu tentangnya. Wallahua'alam..
No comments:
Post a Comment